Isnin, 17 Mei 2010


SIFAT-SIFAT MAZMUMAH (TERCELA)

Menurut Imam al-Ghazali, antara sifat-sifat mazmumah seperti berikut:

1. GEMAR MAKAN DAN MINUM
Maksud hadis: “yang terlebih afdhal kepada Allah ialah orang yang banyak berlapar dan banyak tafakur (berfikir sambil meneliti). Dan yang terlebih benci kepada Allah ialah orang yang banyak makan, banyak tidur dan banyak minum”. Orang yang selalu kekenyangan akibat banyak makan dan minum akan terhindar daripada melakukan ibadah kerana sentiasa terdorong untuk tidur dan istirehat.


2. BANYAK BERKATA YANG SIA-SIA
Ia adalah bencana lisan seperti mengumpat, menghina, berdusta dan bertengkar. Firman Allah: (Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan mereka, kecuali bisikan daripada orang yang menyuruh manusia memberi sedekah, atau berbuat makruf atau mendamaikan antara manusia. Surah al-Nisa’:114). Sabda Nabi Muhammad saw: sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, berkatalah yang baik atau diam sahaja”


3. MARAH
Punca marah: kurang sabar. Didorong oleh pengaruh syaitan yang ingin merosakkan iman dan dirinya. Rasulullah selalu sarankan orang yang pemarah berwuduk supaya reda kemarahannya. Walau bagaimanapun, ada keadaan tertentu kita perlu marah cth: perkara maksiat dalam masyarakat.


4. HASAD, DENGKI DAN IRI HATI
Lahir daripada sifat kurang senang dengan nikmat yang dikecapi oleh orang lain lalu megharapkan nikmat itu terhapus daripadanya. Sabda Rasulullah saw: “Hasad itu memakan kebajikan, sebagaimana api memakan kayu”. Cara elak sifat ini ialah dengan banyak sifat tawaduk (rendah diri), ucap puji dan syukur kepada Allah atas nikmat untuk semua saudara Islam. Mudah-mudahan kita juga mendapat nikmat yang serupa kelak.

5. KASIH PADA HARTA
Kemewahan yang membawa sifat bakhil, tamak, haloba dan membazir yang dibenci Allah. Firman Allah: (Hai orang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh harta kekayaanmu dan anak pinakmu daripada mengingati Allah. Sesiapa berbuat demikian, maka tergolonglah mereka di kalangan orang yang rugi. Al-Munafiqun: 9). Islam suka umatnya berharta tetapi jangan sayang harta untuk dilaburkan pada jalan Allah. Contohi sikap Saidina Abu Bakar. Apabila bersedekah jangan pula hendak menunjuk-nunjuk.

6. TAKBUR
Sifat menyombong diri selalunya dipengaruhi oleh nasab keturunan, kuasa pemerintahan, kecantikan, kekayaan, kelebihan ilmu, banyak pengikut dan banyak ibadat. Cara hindari, amalkan sifat tawaduk atau rendah diri dengan memperbanyakkan pergaulan dengan semua peringkat ahli masyarakat dan melatih diri mendengar pandangan orang lain dalam segala hal. Awasi percakapan kita agar tidak timbul sifat bangga diri walaupun pada hakikat kita tidak mahu menunjukkan sifat meninggi diri. Cth: menceritakan baju yang dipakai harga beratus ringgit di depan orang ramai walaupun hanya suka-suka bercakap.

7. Riak
Sifat untuk menarik perhatian /pandangan orang dengan menampakkan amalan baik bertujuan semata-mata iginkan pangkat, pujian, atau kedudukan. Sifat riak yang nyata: menunjuk-nunjuk dalam amal ibadat dan riak yang tersembunyi ialah berat hati untuk beramal apabila bersendirian tetapi akan rajin apabila ada orang lain. Umat Islam perlu berhati-hati supaya tidak bersifat riak dan sebaik-baiknya hendaklah membiasakan diri untuk merahsiakan segala amalan baik kita supaya tidak diketahui orang. Perkara yang boleh membawa riak antaranya: mempertontonkan keindahan tubuh badan, pakaian, ucapan dan perlakuan.

8. UJUB
Berasa hairan dengan keistimewaan dan kelebihan diri sendiri. Sifat ini boleh dihindari dengan sentiasa memikirkan bahawa tidak ada benda yang kekal di dunia ini. Sentiasa menghisab atau meneliti kekurangan diri sendiri sebagai hamba Allah akan melahirkan jiwa yang murni dan bebas daripada sifat tercela ini.

9. KASIH AKAN DUNIA
Hati yang terpaut kepada kehidupan an kesenangan duniawi akan menyebabkan sesorang itu takutkan mati. Hakikat dunia ini digambarkan oleh Allah swt: (Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia adalah permainan, senda gurau, perhiasan, bermegah-megah antara kamu dan berlumba-lumba dalam mengumpul harta kekayaan dan anak pinak : surah al-Hadid:20). Sedarlah dunia ini tempat menimba bekalan takwa menuju akhirat. Segala yang ada di muka bumi sebagai perhiasan, percubaan dan ujian kepada manusia untuk menilai baik atau buruk amalan seseorang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan